SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri telah turun padang bagi menziarahi seorang wanita warga emas yang tinggal sebatang kara di Kampung Tanjung Hulu Saratok.
Wanita warga emas itu, Lohan Ganti yang kini dijaga oleh ahli keluarga Perancis Sapong.
Justeru, Mohamad Duri serta isteri, Norlida Sharkawi bersama Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka telah menziarahi Lohan Ganti di kediamannya, hari ini.
Selain itu, pihak Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong serta Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Betong (PSKB) turut bersama rombongan tersebut.
Menurut Mohamad Duri, beberapa bulan yang lepas, pihaknya telah membantu membina bilik kediaman bagi menempatkan Lohan dengan menaik taraf rumah kediaman keluarga Perancis.
“Lohan turut dibantu sebanyak RM500 sebulan melalui Bantuan Warga Emas (BWE) oleh pihak Pejabat JKM Bahagian Betong,” katanya.
Dalam pada itu, wakil daripada Pejabat JKM Bahagian Betong, Dayang Norfitri Abang Sapini menyatakan ucapan terima kasih kepada ADUN Kalaka di atas keprihatinan terhadap keperluan klien Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) kepada Lohan.
“Beliau (Lohan) sememangnya memerlukan tempat kediaman untuk berteduh. Berkat usaha dan perhatian daripada ADUN Kalaka, kini warga meas itu telah menerima bantuan rumah kediaman yang lebih selesa,” katanya.
Turut hadir bersama dalam ziarah tersebut, Pengerusi PSKB Abang Suhaimi Abang Mohamad bersama 10 orang sukarelawan.
Oleh Adi Safarman