BINTANGOR: Pelajar perlu sentiasa menjaga semangat juang, tidak mudah berputus asa dan terus memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing berkata ini kerana mereka adalah generasi pelapis yang akan membawa negara ke arah kecemerlangan.
“Kejayaan setiap pelajar adalah hasil usaha keras, komitmen dan sokongan yang tidak ternilai daripada ibu bapa, guru dan komuniti sekolah.
“Hari ini, kita berkumpul untuk memberi penghargaan kepada pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum, dan sahsiah sepanjang tahun.
“Pencapaian yang kita raikan ini bukan sahaja hasil kecerdasan minda, malah komitmen, disiplin dan sikap positif yang ditunjukkan oleh setiap pelajar dalam menghadapi pelbagai cabaran sepanjang sesi persekolahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Anugerah Kecemerlangan 2024 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor, di Dewan Seri Wawasan, semalam.
Koung Hiing berkata majlis itu juga adalah sebagai salah satu pengiktirafan terhadap usaha dan kerja keras pelajar berkenaan.
“Kejayaan yang diperoleh adalah bukti bahawa setiap pelajar di sini mempunyai potensi luar biasa.
“Melalui bimbingan yang tepat serta sokongan padu ibu bapa dan guru, mereka mampu mencapai apa sahaja yang mereka impikan,” katanya.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Sharifah Idawati Wan Ahmad; Pengetua SMK Bandar Bintangor, Patrick PhilIip Moss; Pegawai Perhubungan Polis SMK Bandar Bintangor, Inspektor Aidil Ameen Alias dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bandar Bintangor, Latip Mat.
Oleh Earl Anek