LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, mengakui pasukannya perlu mencapai tahap hampir sempurna jika mahu mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool yang kini jauh di hadapan.
Selepas mengharungi permulaan musim yang tidak konsisten, Arsenal kembali mempamerkan prestasi cemerlang dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Sporting Lisbon dalam saingan Liga Juara-Juara pada pertengahn minggu ini.
Sebelum itu, mereka turut menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa kemenangan dalam liga dengan menundukkan Nottingham Forest 3-0.
Kemenangan ke atas West Ham, awal pagi Ahad ini dijangka mampu melonjakkan Arsenal ke tangga kedua liga, sekurang-kurangnya sebelum aksi penting antara Liverpool dan Manchester City pada tengah malam Ahad.
Bercakap dalam sidang media pra perlawanan, hari ini, Arteta berkata fokus utama pasukannya adalah untuk mengekalkan konsistensi.
“Jika Liverpool terus berada di tahap ini, mereka memang sukar untuk dikejar. Tetapi, fokus kami adalah pada prestasi sendiri. Konsistensi akan membuka peluang untuk kami memenangi lebih banyak perlawanan,” katanya.
Arteta turut memuji semangat berpasukan barisan pemainnya selepas mencatat dua kemenangan penting selepas rehat antarabangsa.
“Kemenangan memberikan tenaga baharu dan keyakinan kepada pasukan. Sekarang, ia soal mengekalkan momentum, terutama dengan jadual padat setiap tiga hari,” katanya. – AFP