SIBURAN: Empat penghuni berdepan situasi panik apabila rumah yang mereka diami marak dijilat api di Lorong 8G1C, Taman Duranda Emas di sini, hari ini.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 12.33 tengah hari.
Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota dengan kekuatan lapan orang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikejarkan ke lokasi kejadian.
”Setibanya di lokasi, Komander Operasi (KO) memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah rumah teres setingkat jenis kekal, terbakar 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pihak bomba kemudian menggunakan teknik ’offensive’ dan ’defensive’ menggunakan dua aliran salur bantu mula pam jentera dan sumber air dari tangki jentera sehingga kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya.
Kebakaran berjaya dikawal sekitar 1.10 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.02 petang setelah pasukan keluaran operasi memastikan keadaan kembali selamat.