SRI AMAN: Genap hari ketujuh operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Rumah Jinis, Tekalong Melugu Scheme tanpa sebarang petunjuk baharu.
Penguasa Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata mangsa yang dikenali Jackson Bar Runi, 23, yang menghidapi sejarah sakit sawan sehingga kini masih gagal ditemui.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan dan pencarian dilakukan dalam radius 5 kilometer (km).
“Pasukan SAR dibahagikan kepada dua kumpulan, dimana kumpulan pertama di kawasan darat dan kumpulan kedua mengikut aliran sungai berhampiran.
“Anjing pengesan daripada Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut bersama dengan pasukan pencarian di darat,” katanya.
Muhammad Rais berkata SAR pada hari ini diperkuatkan seramai lima anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, dua anggota Unit K9 Bomba, tujuh anggota polis, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), empat anggota RELA, 15 anggota Immune Belt Enforcement Team (IBET) dan 15 penduduk kampung.
Terdahulu, dalam kejadian Rabu lalu lebih kurang 10.00 pagi di Rumah Jinis, Tekalong Melugu Scheme, mangsa dilaporkan telah keluar rumah dan tidak memaklumkan kepada ahli keluarga.
Mangsa difahamkan menghidap penyakit sawan. Pakaian semasa mangsa semasa keluar rumah menggunakan baju T berwarna putih.
Oleh Adi Safarman