BINTANGOR: Pesta Meradong telah dijenamakan semula untuk edisi kali ini, kata Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab.
Katanya, keputusan untuk menjenamakan semula pesta ini telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Induk Pesta dan mendapat keizinan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP).
“Sudah tentunya dengan penjenamaan semula pesta ini sekali gus memberikan persepsi yang baik terhadap imej bahawa Pesta Meradong sangat unik bagi Daerah Meradong.
“Saya percaya penganjuran Pesta Meradong 2024 ini sudah tentunya mempunyai pelbagai objektif serta nilai-nilai tersendiri penganjurannya.
“Pertamanya, penganjuran pesta ini dapat menyatupadukan masyarakat seperti melalui pengisian program pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pesta tersebut di Pentas Utama Pesta Meradong 2024, malam tadi.
Tambahnya, terdapat banyak kelab atau persatuan tempatan dari Daerah Meradong telah melibatkan diri untuk merancang dan mengelolakan program.
“Antaranya adalah Meradong RC Powerboat (GP) River Challenge, tarik tali, badminton, Pertandingan Petanque Mix Challenge dan banyak lagi.
“Dalam masa yang sama, penganjuran pesta ini mampu meningkatkan sosioekonomi pertanian yang mana masyarakat petani Daerah Meradong diberikan peluang untuk menyertai kegiatan mempromosikan produk pertanian tempatan dan hasil hiliran,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pihak penganjur Pesta Meradong turut berdepan dengan beberapa cabaran.
“Umpamanya adalah tapak yang terhad serta kurang kondusif bagi penganjuran acara atau pesta yang besar.
“Akan tetapi, kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah merancang pelbagai projek pembangunan melalui peranan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) bagi keperluan Daerah Meradong seperti Projek Waterfront Bintangor bagi mengindahkan tebingan Bintangor.
“Setelah projek ini siap kelak, maka bandar Bintangor akan berubah wajah di samping mempunyai tapak yang lebih baik bagi menganjurkan Pesta Meradong pada masa hadapan,” katanya lagi.
Katanya, selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing khususnya juga sentiasa menunjukkan komitmen tinggi untuk menaik taraf fasiliti sukan seperti arena petanque, gelanggang bola keranjang dan sebagainya.
“Segala fasiliti tersebut akan terus dinaik taraf bagi membantu penganjuran pesta yang akan datang agar lebih sempurna dan hebat.
“Di kesempatan ini, saya ingin memberikan kata-kata semangat kepada semua jawatankuasa pengelola agar bersikap professional dan bersungguh-sungguh di dalam menjayakan Pesta Meradong 2024,” katanya.
Beliau turut menjemput semua masyarakat Meradong berkunjung ke Pesta Meradong 2024 bagi memeriahkan lagi pesta tersebut.
Oleh Earl Anek