JAGUH baling tukul besi negara, Jackie Wong dijangka tidak menyertai barisan atlet negara dalam perancangan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk kembali memulakan latihan pada Julai ini.
Perkembangan berkenaan menyaksikan pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi lelaki dengan jarak 68.22 meter (m) itu terpaksa meneruskan latihan bersendirian dan menunggu lebih lama sebelum dibenar menyertai sesi latihan bersama rakan sepelatih.
Presiden KOM Datuk S.M. Muthu berkata Jackie yang dirawat lebih dua bulan di Hospital Sibu, Sarawak, susulan positif Covid-19 memerlukan lebih masa untuk berehat selain membina semula kecergasan setelah dibenar pulang ke rumah, bulan lepas.
“Jackie Wong buat masa sekarang belum lagi, beliau kena rehat dulu disebabkan beliau telah berada di hospital lebih 70 hari. Jadi sekarang kami berikan beliau pelepasan dulu dan kami akan berbincang nanti.
“Setakat ini kami kena mengikut sesi latihan yang macam dulu dan kami harap beliau dapat terus menyumbang pingat kepada negara,” katanya.
Jackie, 28, dimasukkan ke Hospital Sibu pada 16 Mac selepas didapati positif Covid-19 dipercayai dijangkiti daripada bapanya.
Dalam pada itu, Muthu berkata KOM telah diberikan penerangan mengenai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) digariskan badan Olahraga Dunia (WA) yang perlu dipatuhi atlet olahraga negara ketika menjalani latihan, dalam satu persidangan maya bersama badan tersebut baru-baru ini.
Jelasnya, KOM akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat untuk membentangkan mengenai kelonggaran SOP itu sebelum memulakan sesi latihan.
“Ántara kelonggaran SOP adalah atlet tidak perlu memakai pelitup muka yang boleh mengganggu penafasan atlet ketika berlatih. Kita masih ada beberapa sesi sidang dan selepas sesi terakhir baru kita maklumkan kepada KBS,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata KOM sedang mempertimbangkan cadangan untuk menganjurkan satu kejohanan remaja peringkat Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, tahun depan, namun tiada sebarang ketetapan dibuat memandangkan perkara itu masih di peringkat perbincangan.-Bernama