MIRI: Sekeluarga tujuh orang tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Masjid Kuala Baram di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu jam 3.37 petang dan
menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong ke lokasi yang terletak pada jarak 28 kilometer dari balai.
“Setiba di lokasi, pasukan bomba mendapati api pada ketika itu sedang marak membakar keseluruhan rumah berstruktur tidak kekal itu dan mengakibatkan rumah didiami tujuh beranak musnah 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.27 petang.
Tiada mangsa cedera dilaporkan dalam kejadian itu.
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,”katanya.