LAWAS: Kestabilan politik di Sarawak akan terus menjadikan negeri ini dihormati dan bergerak maju, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Timbalan Premier Sarawak berkata keadaan itu diharapkan tiada berlaku gangguan daripada mana-mana pihak dalam usaha negeri ini meneruskan agenda pembangunan secara holistik.
Katanya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bekerja keras untuk meningkatkan pendapatan negeri dan rakyat.
“Premier Sarawak membawa inisiatif dan idea baharu walaupun terpaksa bertengkar dengan pihak lain dan menerokai perkara baharu kerana kita mahu terus melihat negeri ini terus maju,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat perwakilan PBB Cawangan Ba’kelalan di sebuah hotel di sini semalam.
Awang Tengah juga mengingatkan ahli PBB di negeri ini supaya bersedia menerima perubahan zaman tanpa mengabaikan jati diri mereka.
Berbekalkan jati diri katanya, PBB dilihat sebagai landasan kepada kestabilan politik yang mampu mengangkat darjat dan membela seluruh rakyat di Sarawak.
“Oleh itu jati diri perlu diperkukuh bermula daripada nilai-nilai murni dalam keluarga hingga kepada masyarakat agar mereka memahami perjuangan nenek moyang terdahulu.
“Ini kerana segala kesenangan yang dinikmati hari ini tidak datang melayang dan bergolek tanpa ada perjuangan mereka terdahulu hingga hari ini.
“Zaman berubah kita juga harus mengikuti perubahan supaya kita relevan supaya mereka yakin bahawa parti ini akan terus memperjuangkan nasib kita,” katanya.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong yang telah mendapat mandat baru bagi meneruskan kepemimpiann PBB Cawangan Ba’kelalan untuk sesi 2024 hingga 2027.
Turut hadir ialah Setiausaha Eksekutif PBB Sarawak, Datuk Awang Bujang Awang Antek selaku penyelaras bersama Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa.
Pada mesyuarat itu, Henry Sum kekal selaku Ketua Cawangan PBB Ba’kelalan bersama Josephine Henry Sum selaku Ketua Pergerakan Wanita dan Steve Lius selaku Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Ba’kelalan.
Oleh ADENG EDRUS