SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah memasang lebih 3,000 unit lampu LED di bandar ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menggalakkan keberkesanan tenaga dan memerangi perubahan iklim.
Pengerusinya, Clarence Ting, berkata, langkah ini bertujuan meningkatkan kecekapan tenaga serta mengurangkan penggunaan sumber tenaga.
Menurutnya, prinsip utama MPS adalah untuk mengurangkan impak perubahan iklim melalui penggunaan teknologi yang lebih mesra alam.
“Dengan pemasangan lampu LED ini, kami bukan sahaja mengurangkan penggunaan tenaga tetapi juga menjimatkan kos utiliti,” katanya ketika berucap pada Program Inovasi MPS, Integriti dan Hari Bertemu Pelanggan 2024 di Wisma Sanyan, hari ini.
Ting juga menjelaskan bahawa jumlah lampu LED yang dipasang di Sibu kini adalah yang tertinggi di negeri ini, mengatasi bandar lain seperti Kuching yang hanya mempunyai sekitar 800 unit.
“Kami telah memasang sejumlah besar lampu LED pada lampu jalan kami. Malah, Sibu mempunyai paling banyak di Sarawak,” tambahnya.
Selain itu, Ting menegaskan komitmen MPS untuk terus meningkatkan perkhidmatan serta kemudahan infrastruktur awam.
“Setiap tahun, kami berusaha untuk maju, berinovasi, dan menjadikan Sibu tempat yang lebih baik. Prinsip ESG—persekitaran, sosial, dan tadbir urus—amat sejajar dengan matlamat kami di MPS,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pengubahsuaian Medan Selera Dayak Taman Tasik Permai yang siap awal bulan lalu memberi manfaat kepada komuniti Dayak setempat.
Pada minggu depan pula, katanya, bangunan baharu Pasar Sungai Merah akan mula beroperasi setelah mengalami kelewatan akibat Covid- 19.
“Kita juga sedang menaiktaraf Pasar Taman Rejang, tetapi telah diminta oleh Yang Berhormat (Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) Datuk Michael Tiang untuk menghentikan perancangan kerana beliau ada kejutan untuk kita,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi MPS, Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, dan tetamu kehormat lainnya.
Oleh Tarani Lanting