PETRA JAYA: Dato Mohd Chee Kadir (GPS-Kabong) melahirkan rasa kecewa terhadap status pelaksanaan projek Pemulihan Koridor Sungai Seblak yang sehingga kini belum ada sebarang tindakan oleh agensi pelaksana.
Beliau berkata kerap menerima aduan daripada pekebun-pekebun kecil yang terjejas akibat kejadian ini.
“Sehingga kini, projek yang sepatutnya sudah bermula, namun saya telah dimaklumkan projek ini masih lagi dalam peringkat reka bentuk walaupun pihak konsultan telah dilantik pada 2022.
“Saya berasa amat kecewa kerana sehingga kini, tiada sebarang tindakan dari pihak agensi pelaksana iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak untuk mengelakkan koridor ini runtuh walaupun seringkali membuat aduan bertulis kepada agensi yang dipertanggungjawabkan,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Chee Kadir berkata pada 30 Oktober lepas, telah diadakan satu lawatan bersama hampir keseluruhan peringkat tertinggi agensi berkenaan, menjanjikan kepada beliau beberapa perkara yang akan disegerakan antaranya ialah, ‘creak closure’ akan dilaksanakan untuk jalan-jalan yang telah rosak serta kerja penambah baikan untuk jalan-jalan yang setengah rosak.
“Namun sehingga hari ini, janji tinggal janji. Sekali lagi saya ingin merayu serta menyeru dan memohon tindakan pada kadar segera kepada agensi berkenaan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek ini memandangkan keadaan kini sudah tenat,” katanya.
Mengenai isu lain, Chee Kadir mencadangkan agar penduduk terutamanya kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diberikan lesen untuk memburu atau menangkap buaya.
“Peningkatan jumlah populasi buaya di Sarawak terutamanya di kawasan DUN N.40 Kabong semakin bertambah dan ia bakal meningkatkan risiko berlaku konflik antara manusia dengan reptilia berkenaan.
“Pertambahan populasi buaya yang semakin membimbangkan penduduk, malah memerlukan perhatian agensi berkaitan. Nelayan yang menjadikan sungai sebagai punca rezeki menjadi takut dengan kehadiran buaya itu sekali gus ia menjejaskan pendapatan mereka,” katanya.
Selain itu, Chee Kadir mahu jawatan Pemanca diwujudkan di Daerah Kabong memandangkan Kabong telah dinaik taraf sebagai daerah penuh pada 2015 dan meminta segera diluluskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.
“Jawatan pemanca terdiri daripada Melayu, Iban dan Cina perlu diwujudkan di kawasan DUN N.40 Kabong, setakat ini DUN Kabong mempunyai seramai tujuh orang penghulu yang terdiri daripada penghulu Melayu, Iban dan Cina,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN