Mangsa hilang 11 hari ditemui selamat tanpa cedera

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
SELAMAT DIJUMPAI… PBT II Rary Binjie dan Sarjan Rudy Balan bersama pasukan SAR ketika ke rumah Budi Budin yang berseluar pendek (mangsa hilang) sebagai pengesahan penemuan mangsa yang hilang selama 11 hari oleh penduduk kampung, pagi tadi.

MIRI: Setelah dilaporkan hilang selama 11 hari, seorang lelaki berusia 39 tahun ditemukan selamat, hari ini.

Budi Budin yang beralamat Kampung Beraya Batu 1, Miri, dijumpai oleh penduduk kampung di sebuah rumah kebun di Ulu Beraya di sini pada 7.00 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Rary Binjie berkata, pada 7.26 pagi tadi pihaknya menerima panggilan daripada Ketua Polis Bekenu Sarjan Rudy Balan memaklumkan mangsa hilang sudah dijumpai oleh orang kampung.

“Mangsa telah dibawa ke rumahnya sendiri iaitu di Kampung Beraya Batu 1.

“Orang yang menjumpai mangsa hilang tersebut dikenali sebagai Asheman Sahir menemuinya di sebuah rumah kebun di Ulu Beraya pada 7.00 pagi tadi.

“Jarak mangsa dijumpai dari rumah mangsa adalah sejauh 15 kilometer (km), dan mangsa dibawa pulang dengan menggunakan motosikal.

“Mangsa semasa dijumpai adalah dalam keadaan sihat dan tiada mengalami sebarang luka,” jelasnya.

Beliau berkata pada jam 7.45 pagi pasukan mencari dan menyelamat telah pergi ke rumah mangsa untuk membuat pengesahan seterusnya mendapatkan maklumat penemuan mangsa.

“Jumlah hari sebenar mangsa hilang ialah 11 hari.

“Setelah perbincangan bersama pihak PDRM maka operasi ditamatkan pada jam 9.00 pagi ini,” katanya.

Oleh Adum Liu