KUCHING: Pelaksanaan bagi pertambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak hanya dimuktamadkan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata ini berikutan beberapa aspek perundangan perlu diteliti terlebih dahulu sebelum dapat dipinda di Dewan Rakyat.
“Tak sempat (dilaksanakan pada PRU16). Setakat ini kita tidak menetapkan sebarang tempoh bagi pelaksanaan tambahan kerusi itu tetapi kita bagi masa untuk mereka (Jabatan Peguam Negara, Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Sarawak) untuk berbincang dari sudut perundangan.
“Nanti suku pertama tahun depan baru kita akan mendapat pelaporan daripada ketiga-tiga penasihat undang-undang untuk dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63),” katanya kepada pemberita pada Karnival Takaful Masuk Kampung, di Dewan Serbaguna Kampung Semariang Batu di sini hari ini .
Beliau berkata setakat ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah selesai menjalankan kajian bagi perkara berkenaan di Sarawak sahaja.
Isu tuntutan kerusi Parlimen dibincangkan dalam mesyuarat MTPMA63 pada September lepas yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kali terakhir berlaku persempadanan semula melibatkan kerusi Parlimen adalah pada 2006, dengan Sabah dan Sarawak kini masing-masing mempunyai 25 dan 31 Ahli Dewan Rakyat iaitu 56 kerusi atau kira-kira 25 peratus daripada 222 kerusi.
— BERNAMA