PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak mengumumkan pemberian tanah untuk pembinaan ibu pejabat Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), dalam usaha memperkukuhkan pembangunan sektor hartanah di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan tanah yang dikenal pasti untuk tujuan pembangunan ibu pejabat SHEDA adalah di sekitar kawasan yang bakal dihubungkan dengan Jambatan Sejingkat.
Katanya, inisiatif ini bertujuan membangunkan sistem maklumat pasaran hartanah khusus untuk Sarawak bagi memastikan keseimbangan antara permintaan dan penawaran dalam pasaran hartanah kediaman.
“Kawasan ini masih lagi berdekatan dengan Kuching, kerana ketika ini kita sedang membina jalan baharu bermula dari belakang Universiti Malaysia Sarawak(UNIMAS) ke kewasan Beliong dan kawasan ini bakal dihubungkan dengan Jambatan Sejingkat.
“Jambatan ini bakal disiapkan menjelang hujung 2025, jadi sebenarnya anda masih dalam kawasan Kuching, kerana kawasan ini nanti hanya mengambil masa 20 minit dari Kuching.
“Sebagai pemain utama dalam industri ini, SHEDA telah lama menunjukkan komitmen.
“Kerajaan Sarawak berharap kerjasama produktif ini akan terus memberi manfaat kepada keseluruhan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam tahunan dan Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.
Abang Johari turut memaklumkan bahawa peruntukan tanah baharu ini melibatkan beberapa pemaju profesional lain, antaranya Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) di mana SHEDA turut berpotensi menjadi penerima manfaat tersebut.
Katanya, kawasan tersebut akan dijadikan sebagai kluster profesional di Kuching, yang akan menempatkan ibu pejabat baharu SHEDA serta institusi-institusi tersebut.
Pada majlis itu, Pengasas yang juga Pengarah Urusan Lee Onn Group, Dato Tan Guek Kee menerima anugerah paling berprestij iaitu Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat SHEDA 2024.
Antara penerima lain ialah Lee Onn Development Sdn Bhd (Anugerah Pembangunan Strata bagi Kediaman), Green Summit Development Sdn Bhd (Anugerah Perumahan Mampu Milik kategori Swasta), Lafrowda Land Sdn Bhd (Anugerah Kediaman Teres kategori Sederhana), Maya Sinarjaya Sdn Bhd (Anugerah Kediaman Teres kategori Besar), Sendayan Ventures Sdn Bhd & Sumberdyna Sdn Bhd (Anugerah Perumahan Mampu Milik kategori Swasta), dan Rasaja Sdn Bhd (Anugerah Kediaman Teres kategori Besar).
Majlis turut diserikan dengan upacara pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SHEDA dan Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) Cawangan Malaysia.
MoU ini akan memberi peluang kepada pemaju-pemaju Sarawak untuk mempromosikan projek mereka pada platform lebih luas seperti Anugerah Hartanah Malaysia (MPA) anjuran FIABCI Malaysia.
Pemenang Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2024 akan secara automatik disenarai pendek untuk MPA 2025, dengan peluang untuk mewakili Malaysia di Anugerah FIABCI World Prix d’Excellence, yang diadakan setiap tahun pada Mei atau Jun.
Oleh SHAHRUL QAIZAT