SIBU: GP Sibujaya Extreme Motocross Championship 2024 iaitu acara kemuncak Sibujaya Bike Week 2024 berpotensi menjadi produk pelancongan tempatan jika dipromosikan dengan baik.
Menurut Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai, acara sukan permotoran ini memiliki peluang besar untuk menarik perhatian pelancong domestik dan antarabangsa, sama seperti perlumbaan F1 dan MotoGP di Sepang.
“Bagi saya, tidak mustahil GP Sibu Jaya Extreme Motocross Challenge ini akan menarik minat peminat motocross dari luar Sarawak, malah mungkin dari luar negara.
“Ini boleh menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong yang datang khusus untuk tujuan ‘Sport Tourism’ ke Sarawak, terutamanya Sibu Jaya,” katanya berucap merasmikan Sibujaya Bike Week 2024 di sini, malam tadi.
Menurutnya, GP Sibu Jaya akan disertai oleh pelumba dari luar Sarawak dan Malaysia, termasuk Indonesia, Brunei Darussalam, Thailand, Filipina, dan Semenanjung Malaysia, yang dijangka menjadikan perlumbaan lebih sengit dan menarik.
Selain perlumbaan motocross, katanya, Sibu Jaya Bike Week 2024 juga menawarkan pelbagai acara menarik seperti pentas hiburan, bertujuan memeriahkan lagi suasana dan memberi peluang kepada masyarakat tempatan untuk merapatkan silaturahim antara kaum.
“Sibu Jaya Bike Week bukan sahaja memperkenalkan bandar ini kepada pelancong luar, tetapi juga merapatkan hubungan sesama penduduk.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Amcorp Sibu Jaya Sdn Bhd dan GP Sibu Jaya Extreme Motorsport Club yang telah berusaha keras untuk menjayakan acara ini,” katanya.
Di samping itu, Sempurai turut menyentuh mengenai perkembangan pesat Sibu Jaya, yang kini mempunyai populasi sekitar 40,000 orang.
Katanya, bandar berkembar Sibu Jaya ini yang terletak di laluan strategik Lebuhraya Pan Borneo Highway telah berkembang pesat hasil kerjasama antara kerajaan negeri, Amcorp Sibu Jaya Sdn Bhd, dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS).
“Kerjasama ini telah mengubah Sibu Jaya menjadi sebuah bandar terancang dengan pembangunan komersial dan penempatan yang tersusun,” ujarnya.
Hadir sama ialah Setiausaha MDLBS Ng Siang Wei, Presiden Kelab GP Sibujaya Extreme Motosport Sii How Ping, wakil Persatuan Motosport Malaysia Roslan Kamaruddin dan Pengurus Besar Amcorp Sibujaya James Ho.
Oleh Tarani Lanting