PETRA JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 adalah antara empat RUU bakal dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula Isnin ini.
RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024, akan melibatkan penyerahan kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk mengendalikan pengurusan sisa buangannya sendiri, yang sebelum ini terletak di bahu Kerajaan Persekutuan.
Speaker DUN, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, setelah diluluskan nanti, tanggungjawab menguruskan sisa buangan seperti sisa logam dan elektronik sebagai contoh bateri terpakai dan unit penghawa dingin akan menjadi tanggungjawab Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.
“Selain itu, tugas perlesenan untuk premis yang melakukan aktiviti melibatkan pelepasan minyak ke perairan Sarawak, pencemaran atmosfera, bunyi, tanah dan air akan dikendalikan oleh kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pramesyuarat DUN yang dipengerusikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, di Jalan Bako di sini, hari ini.
RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Mesyuarat kedua bagi penggal ketiga DUN Sarawak bermula Isnin ini, 11 November hingga 20 November ini.
Tiga lagi RUU akan dibentang adalah RUU Perbekalan (Belanjawan) 2025, RUU Perbekalan Tambahan 2025 dan RUU Pengagihan Gas (pindaan) 2024.
Mohamad Asfia berkata DUN telah menerima satu usul daripada Menteri di bawah Peraturan
Mesyuarat 23(1)(a) bertujuan untuk meminda peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Undangan Negeri
Sarawak.
“Bacaan pertama bagi kesemua rang undang-undang tersebut akan dilakukan pada hari pertama persidangan iaitu Isnin ini.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan membentangkan RUU Perbekalan 2025, manakala timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan membentangkan RUU Perbekalan Tambahan 2025.
“RUU Pengagihan Gas (pindaan) 2024 pula akan dibentangkan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.
“RUU Pengagihan Gas 2024 adalah pindaan dan RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 adalah RUU baharu,” katanya.
Tambahnya, sekretariat DUN Sarawak memaklumkan bahawa sebanyak 350 soalan, berbentuk lisan dan bertulis, telah diterima daripada 42 ahli dewan.
“Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menerima jumlah soalannya yang tertinggi iaitu 61 soalan.
“Sebanyak 20 soalan akan dijawab secara lisan dan 102 soalan secara bertulis, “ujarnya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT