KUCHING: Pelbagai aktiviti menarik disediakan buat pengunjung Karnival Kita MADANI peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Penview (PCC), Demak di sini pada Sabtu dan Ahad ini, kata Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Helmy Hamid.
Sehubungan itu beliau mempelawa orang ramai untuk tidak melepaskan peluang mengikuti aktiviti-aktiviti hebat yang disediakan antaranya Infiesta PENTARAMA, Permukiman Komuniti MADANI Sarawak, Taklimat Belanjawan 2025, pameran, jualan serta pelbagai reruai menarik.
Beliau berkata karnival dua hari itu turut menyajikan Jualan Rahmah yang menawarkan pelbagai barang keperluan pada harga yang amat berpatutan dari 10.00 pagi hingga 9.00 malam.
“Karnival ini juga melibatkan pembabitkan agensi-agensi di bawah kementerian Komunikasi Sarawak dan jabatan serta agensi kerajaan lain, yang menampilkan 24 pameran, 17 reruai daripada Komuniti MADANI yang mempamer dan menjual hasil kraf tangan serta produk makanan tempatan.
“Antara aktiviti lain yang ditampilkan ialah demonstrasi penghasilan kraf tangan dan produk berasaskan koko, Perkhidmatan Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara dan Pejabat Kesihatan Pergigian Bahagian Kuching,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata Infiesta PENTARAMA yang bermula dari pukul 8 hingga 10.30 malam akan turut menyelitkan pelbagai input bermaklumat dalam aktiviti hiburan, termasuk penerangan lebih terperinci mengenai Belanjawan 2025.
Helmy berkata acara kemuncak adalah pada hari kedua iaitu sesi Town Hall Komuniti MADANI bersama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan ahli Komuniti MADANI Sarawak seramai 900 orang.
“Terdahulu akan diadakan sesi Bicarawara mengenai dua topik khas bersama Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri dan Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Duta Anti Scam Polis Diraja Malaysia Rahmat Fitri Abdullah,” katanya.
Beliau berkata melalui Karnival Kita MADANI dan Permukiman Komuniti MADANI, secara tidak langsung ia dapat menyemarakkan lagi hubungan yang baik antara rakyat dan pemimpin, selain menjadi wadah untuk pertukaran idea dan pandangan.
“Saya yakin penganjuran karnival ini dapat menghimpun, meningkatkan dan memperkukuhkan lagi fungsi serta peranan Komuniti MADANI terutamanya di Sarawak. Karnival ini juga diharap dapat menggalakkan penglibatan komuniti dalam pemasaran maklumat yang tepat mengenai inisiatif Kerajaan kepada masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol dijangka merasmikan Karnival Kita MADANI dan Permukinan Komuniti MADANI ini, yang diadakan buat julung kalinya di Sarawak. – Bernama