Najib diperintah jalani baki hukuman penjara kes SRC di rumah

Facebook
WhatsApp
PEMANDANGAN kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta hari ini. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa semua syarat yang ditetapkan dalam perintah pengampunan bersyarat yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah telah dipenuhi. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 10 November: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, yang berkuat kuasa serta-merta.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 November lepas terhadap Najib, 73.

PENGAMAL media membuat liputan di kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta di sini hari ini. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini bertitah semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat yang memperkenankan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah telah pun dipenuhi. Foto Bernama

Perintah baharu itu menyaksikan Najib menjalani hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama untuk menjalani hukuman penjara berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam penghakimannya, Aslam berkata beliau telah membaca perintah pengampunan bersyarat, bukti pembayaran penuh denda, perintah terdahulu dan dokumen lain yang berkaitan.

“Dengan ini, mahkamah membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda bertarikh 6 Nov 2026 dan digantikan sepenuhnya dengan perintah dalam permohonan.

“Selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat dalam kes SRC International Sdn Bhd, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan di rumah di alamat No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta hingga 23 Ogos 2028,” katanya.

Najib, yang hadir di galeri awam memakai kurta biru dan ditemani anaknya, Nooryana Najwa dilihat tersenyum ketika mendengar keputusan itu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kemudian meninggalkan mahkamah untuk ke Penjara Kajang dengan diiringi oleh pegawai penjara. – Bernama