MIRI: Tiga wanita di sini menjadi mangsa penipuan pinjaman dan belian tidak wujud yang membabitkan jumlah kerugian RM25,400.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima tiga laporan berhubung kes itu Khamis lalu.
“Bagi kes pertama, mangsa wanita warga tempatan merupakan kerani swasta berumur 40-an telah melayari laman sosial facebook dan terlihat satu iklan pinjaman wang menggunakan laman sesawang berlatarkan Hong Leong Bank.
“Dia kemudian berhubung dengan suspek untuk membuat pinjaman sebanyak RM20,000.
“Mangsa telah membuat pembayaran sebanyak 10 kali transaksi melalui tiga akaun yang diberikan oleh suspek dengan pindahan atas talian semasa berada di sekitar Daerah Miri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson berkata, mangsa sedar telah tertipu kerana masih diarahkan untuk membuat bayaran selepas melakukan transaksi pembayaran sebanyak RM11,400.
“Bagi kes kedua, mangsa warga tempatan merupakan suri rumah berumur 40- an telah melihat iklan di Facebook mengenai penjualan kereta terpakai Toyota Hilux, telah berhubung dengan suspek melalui Facebook dan kemudian telah bersetuju untuk membeli kereta tersebut.
“Mangsa telah membuat pembayaran sebanyak empat kali transaksi ke tiga akaun yang diberikan oleh suspek melalui pindahan atas talian dan mesin deposit tunai (CDM),” katanya.
Beliau berkata mangsa sedar telah tertipu apabila suspek meminta mangsa membuat pembayaran lagi bagi tujuan saman parkir.
Bagi kes ketiga, Alexson memberitahu mangsa adalah wanita warga tempatan merupakan pekerja swasta berusia 20-an telah tertarik dengan iklan jual beli jongkong emas di Facebook.
“Mangsa telah berhubung dengan suspek melalui What’App dan bersetuju untuk membeli emas yang dijual oleh suspek.
“Mangsa telah membuat pembayaran sebanyak dua kali transaksi ke akaun diberikan oleh suspek melalui mesin deposit tunai (CDM) iaitu transaksi pertama dan transaksi kedua dibuat semasa mangsa berada di negara Brunei Darussalam. Kerugian dialami oleh mangsa adalah sekitar RM14,000,” katanya.
Beliau berkata mangsa sedar telah tertipu apabila menerima bungkusan yang mengandungi peralatan tulis dan bukannya emas.
Katanya, ketiga-tiga kes itu disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.