TANJUNG MANIS: Kampung Jerijeh telah mendapat peruntukan Skim Pembesaran Kampung (SPK) bernilai RM20 juta.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, ia di bawah Projek Rakyat YAB Premier bagi meningkatkan kualiti pembangunan di kawasan ini.
“Pelbagai projek kemudahan lain turut disediakan seperti Dewan Masyarakat menerusi (RTP) bernilai RM1.6 juta dan Pembangunan Semula Sekolah SK Abang Buyuk bernilai RM8.7 juta di bawah Skim Pembangunan Semula Sekolah Daif Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Masjid Al-Haj di Kampung Jerijeh, hari ini.
Majlis perasmian masjid baharu itu telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu berkata, inisiatif ini diharap dapat menyediakan persekitaran selesa dan lebih teratur.
“Ini sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan ini,” ujarnya.
Selepas itu, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama yang lain turut menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al-Haj di Kampung Jerijeh, hari ini.
Majlis diserikan lagi dengan kehadiran isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohamad Sanusi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol dan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab.
Oleh Akun Giman & Tarani Lanting