KUALA LUMPUR: Program Biasiswa Kerajaan Rusia untuk pengambilan 2025/2026 kini dibuka untuk permohonan daripada semua warganegara Malaysia yang layak sehingga 15 Januari 2025.
Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia (Rumah Rusia) di Kuala Lumpur mengumumkan bahawa Kerajaan Rusia menawarkan 20 biasiswa penuh kepada calon Malaysia yang berjaya untuk melanjutkan pengajian tinggi di negara itu.
“Misi kami adalah untuk mempromosikan hubungan budaya dan pendidikan antara Rusia dan Malaysia melalui pelbagai program, acara dan inisiatif. Salah satu aktiviti utama kami adalah menawarkan peluang kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di Rusia di bawah Program Biasiswa Kerajaan Rusia.
“Program ini membolehkan pelajar Malaysia mendapat pendidikan tajaan kerajaan di Rusia, memberikan mereka pengalaman akademik dan budaya yang bernilai,” menurut kenyataan itu.
Biasiswa ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang telah tamat pengajian daripada sekolah menengah, sekolah vokasional, atau kolej. Calon yang layak boleh memohon biasiswa untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda atau melanjutkan Pendidikan Vokasional Menengah.
Program untuk Ijazah Sarjana, Doktor Falsafah (PhD), latihan doktor, serta program tambahan lain juga disediakan. Tiada had umur dikenakan kepada calon.
Lebih 400 universiti di 80 wilayah di Rusia menawarkan sehingga 17,000 program pendidikan dalam pelbagai bidang pengajian.
Selain itu, biasiswa ini boleh menampung yuran pengajian penuh untuk pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Pasca Siswazah, latihan doktor serta Pendidikan Vokasional Menengah dan program tambahan jangka pendek.
Bagi calon yang perlu memperbaiki kemahiran Bahasa Rusia mereka, biasiswa ini akan merangkumi Kursus Persediaan Bahasa Rusia sebelum program pengajian utama, biasanya di universiti atau bandar yang sama, kerana kebanyakan program diajar dalam Bahasa Rusia.
Calon boleh memohon kedua-dua kursus dan biasiswa secara langsung di laman sesawang https://education-in-russia.com/.
Pemilihan calon termasuk penilaian permohonan dan temu duga akan dijalankan oleh Rumah Rusia di Kuala Lumpur.
Pemohon yang berminat boleh menghubungi Rumah Rusia di Kuala Lumpur di talian +60 12 480 41 00 atau e-mel: malaysia@rs.gov.ru untuk maklumat lanjut. – Bernama