BINTANGOR: Rakyat Sarawak amat bertuah mempunyai pemimpin-pemimpin yang berintegriti, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing.
Katanya, pada 2022, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama kesemua anggota Kabinet telah melafazkan dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
“Selain itu, kerajaan Sarawak telah meluluskan Sarawak Ombudsman Bill 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu iaitu pada 20 November 2023.
“Antara objektif utama undang-undang ini adalah untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa dalam perkhidmatan awam.
“Inisiatif-inisiatif ini adalah bukti komitmen berterusan kerajaan untuk mengekalkan dan mempertingkatkan mutu pentadbiran berintegriti, akauntabiliti serta memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis perasmian Jelajah Integriti Siri 15 Bil 6/2024 bertempat di Dewan Masyarakat Meradong, hari ini.
Hadir bagi merasmikan majlis tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya.
Sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri dan ADUN Meradong, Koung Hiing menyedari betapa pentingnya integriti dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan.
“Oleh itu, integriti memainkan peranan sangat penting bukan sahaja dalam takbir urus dan kewangan kerajaan tetapi juga dalam memastikan perancangan dan pelaksanaan projek-projek adalah tulus, berkualiti, mengikut tempoh, bajet dan spesifikasi yang telah ditetapkan.
Pada 2023, katanya, Malaysia di kedudukan tangga ke-57 daripada keseluruhan 180 negara dengan skor 50 peratus dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International Malaysia (TI-M).
“Walaupun terdapat peningkatan daripada tahun sebelumnya, di mana Malaysia berada di kedudukan ke-61 dengan skor 47 peratus, kita masih jauh di belakang negara jiran kita, Singapura, yang menduduki tempat kelima dengan skor 83 peratus.
“Ini menunjukkan bahawa masih banyak yang perlu dilakukan untuk memperbaiki kedudukan dan imej negara kita, termasuk Sarawak dalam memerangi rasuah,” katanya.
Oleh itu, katanya, usaha untuk membudayakan amalan integriti bagi memerangi rasuah perlu dilaksanakan di semua peringkat dengan cara yang sistematik dan menyeluruh.
“Integriti memberi impak yang amat positif kepada kestabilan sosial, politik, kemakmuran serta kesejahteraan ekonomi, baik di peringkat negara mahupun negeri Sarawak.
“Amalan tidak berintegriti dan rasuah boleh menyebabkan ketirisan sumber, penyelewengan, pembaziran wang kerajaan, serta salah guna kuasa, yang akhirnya merugikan rakyat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Koung Hiing menyeru semua ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerap dan membudayakan nilai integriti dalam kehidupan terutamanya apabila menjalankan tugas untuk membuat perancangan pembangunan hingga kepada pemantuan projek serta pengurusan projek siap perlu dijalankan dengan penuh kejujuran, ketelusan dan kebertanggjawaban.
“Sebagai ADUN Meradong, saya bertanggungjawab memastikan bahawa semua perancangan projek yang bermanafaat dapat dilaksanakan mengikut spesifikasi dan standard yang ditetapkan, tanpa berlaku salah guna kuasa atau penyelewengan atau ketirisan wang rakyat.
“KMKK dan JKKK sebagai pemimpin akar umbi berperanan besar dalam memantau dan memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan kita berjalan dengan lancar, tanpa berlaku penyelewengan atau salah guna kuasa.
“Mereka adalah mata dan telinga yang terbaik dalam memastikan integriti dipelihara di peringkat komuniti. Saya amat berharap KMKK dan JKKK di daerah Meradong terus bekerjasama rapat dengan pihak saya dan pihak berwajib dalam memastikan semua projek atau program yang dijalankan di sini mematuhi spesifikasi dan jadual yang ditetapkan,” katanya.
Selain itu, katanya, KMKK juga harus sentiasa peka terhadap isu-isu tempatan dan tegas serta berani melaporkan sebarang penyelewengan dan ketirisan dalam pelaksanaan projek-projek di kawasan mereka.
“Dengan pengawasan ketat daripada KMKK, kita dapat memastikan bahawa integriti dijaga bukan sahaja dalam perkhidmatan awam, tetapi juga dalam setiap aspek kehidupan masyarakat di Meradong,” tambahnya.
Oleh Earl Anek