SRI AMAN: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu mengkongsikan maklumat berkaitan projek termasuk sumber peruntukkannya terutama daripada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada masyarakat di kawasan masing-masing.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, ini perlu supaya masyarakat tidak dikelirukan melalui sentimen segelintir pihak tertentu.
“Pihak JKKK boleh berkongsi maklumat mengenai projek dan sumber peruntukan daripada kerajaan GPS itu kepada netizen di media sosial atau secara lisan kepada rakyat yang berada di kawasan mereka.
“Pertolongan mereka berhubung perkara ini penting untuk membuktikan kerajaan GPS mengutamakan keperluan rakyat dan seterusnya dapat menangkis dakwaan segelintir pihak berkepentingan yang mahu menidakkan usaha itu,” katanya.
Selain itu, beliau juga memberitahu kerajaan pimpinan GPS mempunyai pelan pembangunan jangka panjang untuk menaik taraf hidup rakyat di dalam negeri ini.
“Antara usaha pelan pembangunan jangka panjang kita adalah membuka jalan baharu dan membina jambatan untuk menghubungkan rakyat ke kawasan tanah baharu bagi tujuan penerokaan terutama sekali di luar bandar.
“Dengan adanya usaha ini maka kerajaan GPS dapat membantu mempertingkatkan sosioekonomi rakyat bukan sahaja melalui projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) malah melalui projek mega yang lain,” kata Harden.
Terdahulu, Harden baru-baru ini telah pun merasmikan Projek RTP Bina Baharu Jambatan Gantung Sungai Undop dan Naik Taraf Jalan Akses di Rumah Jacktoal, Sungai Labi dekat Batu Lintang, Undop, dekat sini.
Pelaksanaan projek RTP Jambatan Gantung Sungai Undop itu telah menelan kos sebanyak RM250,000 dan siap dibina pada 2016 manakala projek jalan akses pula menelan kos sebanyak dengan kos RM200,000.
Oleh Valentine Ngumbang