SIBU: Panglima Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Bgd), Brigedier Jeneral Ahmad Norzaini Badrun dan Komander 7th Brigade Tentera Darat Australia (TDA), Brigedier Giles J.S. Cornelia telah menyempurnakan Majlis Penutup Eksesais HARINGGAROO Siri 74/2024 yang julung kali dilaksanakan di Bumi Kenyalang, 27 Oktober lalu.
Dengan pelaksanaan Eksesais HARINGGAROO Siri 74/2024, Batalion Ketiga Rejimen Renjer DiRaja – Rasmi (3 RRD) yang mewakili Tentera Darat Malaysia (TDM) berpeluang untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam Peperangan Melawan Insurgensi (PMI) terutamanya Operasi Hutan bersama Rifle Company Butterworth (RCB) daripada TDA.
Menurut kenyataan medianya, latihan ini merupakan kesinambungan kepada kerjasama bilateral di bawah Malaysian Australian Joint Defence Programme (MAJDP).
Terdahulu, latihan yang pertama kali dilaksanakan pada 1977 dikenali sebagai Eksesais SCORPION sebelum dinamakan semula Eks HARINGGAROO (Harimau – Kanggaroo).
Pada asalnya eksesais ini adalah untuk menunjukkan kekuatan kepada blok Komunis pada 1970-an.
Eksesais yang berkonsepkan PMI ini bertujuan untuk menguji kesiagaan Trup 3 RRD dan RCB dan membuktikan bahawa kedua-dua angkatan tentera sentiasa komited melaksanakan latihan bilateral di samping mewujudkan persefahaman yang meliputi aspek pelaksanaan latihan bersama serta hubungan dua hala antara Malaysia-Australia.
Eksesais yang dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu pembelajaran silang atau Cross Training Exercise (CTX) dan latihan medan atau Field Training Exercise (FTX) yang diakhiri dengan serangan terhadap khemah sementara musuh.
Di samping itu, aktiviti Civil Military Co-operation (CIMIC) turut akan dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Batu 15, Kem Oya dengan aktiviti menceriakan landskap dan serta sumbangan buku-buku ilmiah untuk para pelajar.
TDM akan terus komited dalam pelaksanaan eksesais bilateral sebegini yang selaras dengan Teras Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-30 iaitu Anjakan Diplomasi Pertahanan bagi memperkukuhkan kerjasama dan hubungan dua hala kedua-dua negara.
Selain itu, ia dijadikan platform terbaik untuk berkongsi ilmu dalam pelaksanaan tugas di masa hadapan serta memahami budaya dan adat resam antara satu sama lain.
Turut hadir dalam acara penutup eksesais ini ialah Ketua Staf Markas 9 Briged, Lt Kol Muhammad Samzie Gusang, Pegawai Memerintah 3 RRD, Lt Kol Majani Japon, Commanding Officer 2nd/30th Training Group, RCB-TDA, Lt Kol Richard Trembath dan Pegawai-Pegawai Pemerintah pasukan bawah naungan Formasi 9 Briged.