LUBOK ANTU, 4 November: Dua wanita berusia awal 30-an ditahan polis selepas didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine dalam Op Tapis Khas di kawasan Jalan Lubok Antu, petang semalam.
Kedua-dua suspek ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu ketika operasi dijalankan.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin berkata, hasil pemeriksaan fizikal terhadap kedua-dua wanita berkenaan tidak menemui sebarang barang salah.
Bagaimanapun, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Lebih membimbangkan, kedua-dua suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.
Menurut beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Lubok Antu bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.
DSP Pricha menegaskan bahawa IPD Lubok Antu menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik akan terus mempergiat pelaksanaan operasi bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, usaha berterusan itu penting bagi memastikan tahap keselamatan serta ketenteraman masyarakat di Daerah Lubok Antu sentiasa terpelihara
Oleh Adi Safarman





