SRI AMAN: Pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) akan dapat membantu penduduk luar bandar meneroka kawasan tanah yang baharu di penempatan masing-masing.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata antara projek RTP berkenaan adalah seperti jambatan konkrit, jambatan gantung dan jalan akses.
“Apabila kemudahan seperti itu dibina, penduduk luar bandar memiliki keupayaan untuk meneroka kawasan tanah baharu dan melaksana projek pertanian atau penternakan di situ.
“Kegiatan ini secara tidak langsung akan dapat menaikkan status ekonomi penduduk dan tidak mensia-siakan usaha pembangunan yang dibawa oleh kerajaan Sarawak untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian projek RTP Bina Baharu Jambatan Gantung Sungai Undop dan Naik Taraf Jalan Akses di Rumah Jacktoal, Sungai Labi dekat Batu Lintang, Undop, di sini semalam.
Selain itu, beliau juga bercadang mahu menubuhkan pusat khidmat di Pekan Batu Lintang bagi memacu proses pembangunan ekonomi di situ pada masa akan datang.
“Pembukaan pusat khidmat itu nanti akan dapat menarik kehadiran pengunjung ke Pekan Batu Lintang dan seterusnya merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan dalam kalangan penduduk,” katanya.
Pada majlis itu, Francis Hardenctelah meluluskan projek RTP bagi 2025 bernilai RM100,000 untuk membina atap tambahan dan lantai beranda Rumah Panjang Sungai Labi.
Beliau juga turut meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Labi dengan RM3,000 dilulus untuk untuk biro wanita JKKK itu.
Terdahulu, pelaksanaan projek RTP Jambatan Gantung Sungai Undop itu telah menelan kos kos sebanyak RM250,000 dan siap dibina pada 2016, manakala projek jalan akses pula menelan kos RM200,000.
Hadir sama wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Sandin Ajah; Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman, Pengiran Sakai dan Fatihi Jali, para ketua masyarakat dan ahli Majlis Daerah Sri Aman.
Oleh VALENTINE NGUMBANG