SARATOK: Penganjuran Regata Krian 2024 bukan sahaja menyaksikan perlumbaan perahu dan bot laju, malah pengunjung turut disajikan dengan perarakan 10 perahu berhias yang menyusuri Sungai Krian, malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata perarakan perahu berhias yang kali keduanya dianjurkan sejak tahun lepas di daerah itu mampu dijadikan sebagai produk pelancongan terbaharu pada masa akan datang.
Beliau yakin perarakan seperti ini mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar untuk bertandang ke Daerah Saratok ini.
“Melihat kepada sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran orang ramai membanjiri Tebingan Sungai Krian, kita yakin perarakan perahu berhias ini wajar dijadikan produk pelancongan baharu bagi kita di Saratok ini,” katanya.
Katanya, selain Pesta Saratok dan Regata Krian yang sangat dikenali ramai, tidak salah sekiranya acara perarakan sebegini boleh diangkat sebagai produk pelancongan terbaharu di DUN Krian dan DUN Kalaka amnya.
“Saya rasa ini satu permulaan yang baik dan kita harap di masa hadapan, kita akan menganjurkannya lagi pada skala lebih besar dengan lebih ramai peserta,” ujarnya.
Dalam pada itu, perahu berhias Kelab Gasing Kenyalang telah menjadi johan pertandingan perahu berhias pada edisi kali ini.
Turut hadir sama ialah ADUN Kalaka, Mohamad Duri; Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom dan Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid.