BINTANGOR: Geran program Sejahtera Komuniti Madani atau SejaTi Madani berjumlah keseluruhan RM1,086,660 diserahkan kepada 11 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang yang telah mendapat kelulusan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berkata, SejaTi Madani merupakan inisiatif baharu Kerajaan Madani bertujuan merancakan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan setempat dengan pemberian dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.
“Sekalung tahniah dan syabas kepada 11 JKKK yang telah berjaya dalam permohonan SejaTi MADANI di parlimen ini.
“Kerajaan Persekutuan telah mengenal pasti dan menetapkan lima sektor tumpuan untuk komuniti memilih program yang boleh membantu komuniti masing-masing bagi memartabatkan ekonomi.
“Ia adalah pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula,” katanya.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap pada majlis simbolik penyerahan geran SejaTi Madani Parlimen P208 Sarikei di Pejabat Daerah Meradong, hari ini.
Katanya, sebagai wakil rakyat, beliau menggalakkan komuniti rumah panjang atau JKKK untuk mengambil bahagian secara aktif dalam program tersebut supaya penduduk dapat menghasilkan pendapatan lebih bermakna.
“Inilah keprihatinan Kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat di kawasan Parlimen Sarikei dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk.
“Dalam pada itu, di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang bijaksana, Sarawak terkenal dengan kemesraan dan keharmonian yang wujud dalam kalangan pelbagai kaum, budaya dan agama serta telah menjadikannya satu keunikan di Sarawak.
“Keharmonian di Sarawak ini dapat dilihat melalui kerjasama antara satu sama lain dalam kehidupan seharian,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 16 kelab, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi Daerah Meradong.
Turut hadir ialah ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing, Ting Kai Siang selaku wakil Pegawai Daerah Meradong, Mohd Tajuddin Yusof selaku wakil Pegawai Daerah Sarikei dan Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Zon Sri Aman, Radiah Muhamed.
Oleh Earl Anek