DALAT: Penduduk di sini berharap status daerah ini yang dikategorikan di dalam Zon Hijau atau bebas kes positif Covid-19 akan berkekalan.
“Alhamdulillah, Daerah Dalat telah dikategorikan dalam Zon Hijau pandemik Covid-19 ini. Saya berharap ia akan terus berstatus itu,” ujar Temenggong Hendi Suhai.
Selain Dalat, dia juga berharap senario yang sama bagi Daerah Daro dan Tajung Manis yang juga disenaraikan di dalam zon yang sama.
“Demikian juga, harapan kita dengan Daerah Daro dan Tanjung Manis supaya terus mengekalkan status itu. Untuk mengekalkan situasi yang baik ini, semua ahli komuniti setempat amat perlu mematuhi perintah PKP dan arahan pihak berkuasa ‘Stay at home’ serta menjaga kebersihan diri, kawasan rumah dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.
Beliau juga mengharapkan keadaan demikian juga akan berlaku kepada daerah lain di bahagian ini.
“Bagi daerah lain, sama-samalah kita berdoa agar keadaan pandemik ini dapat dikawal dan dihapuskan sama sekali dalam masa terdekat. Di samping itu, sama-samalah kita berdoa agar pandemik Covid-19 dapat dikawal dan dihapuskan di seluruh Sarawak khasnya dan Malaysia serta dunia amnya. Rakyat dapat hidup sejahtera dan ekonomi sentiasa meningkat. Just stay at home,” tambah Hendi lagi.
Sementara itu, Kr. Moon Ulan Enal, mengucapkan kesyukuran dengan keadaan itu berdoa agar ia akan berkekalan sehingga kes Covid-19 ini berakhir kelak.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan syukur. Kalau boleh kita kekalkan status hijau ini dan sentiasa mematuhi arahan PKP dan juga berharap supaya warga Dalat sentiasa menjaga kebersihan diri. Dan dalam masa yang sama, perketatkan kawalan untuk orang dari luar Daerah Dalat dalam mengelakkan rantaian Covid-19. Juga diharapkan supaya warga Dalat sentiasa menjaga kebersihan diri.” kata Kaunselor Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) ini. Daerah Dalat, Daerah Daro dan Daerah Tanjung Manis adalah di antara 26 daerah di negeri ini yang tersenarai dalam Zon Hijau.