- Regata Bot Naga Antarabangsa Sarawak 2024
KUCHING: Seramai 1,872 peserta dari 21 negara bertanding dalam Regata Bot Naga Antarabangsa Sarawak 2024 di Tebingan Kuching bagi merebut hadiah keseluruhan RM100,000 serta piala.
Perlumbaan yang memasuki edisi ke-10 ini melibatkan 60 pasukan dari pelbagai negara, termasuk Qatar, Rusia, Ireland, England, Kanada, Kazakhstan, Argentina, Mongolia, China, Jepun, Amerika Syarikat, Cyprus, Taiwan, Kemboja, Hong Kong, Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Brunei Darussalam dan Malaysia.
Sebanyak lapan kategori dipertandingkan yang berlangsung hari ini hingga Ahad ini, termasuk Terbuka Premier Bot Naga 20 (DB20), Campuran Premier DB20, Terbuka Premier DB12, Campuran Premier DB12 dan Wanita Premier DB12.
Selain itu, turut diadakan kategori Terbuka Masters DB12, Perlumbaan Kostum Kebangsaan DB12 dan Terbuka ‘Perlumbaan Untuk Keharmonian’.
Dalam pada itu, saringan awal bagi kategori Terbuka Premier DB20 menyaksikan NKRI Kalimantan Barat, KWPB Kuching Dragon, Filipino Dragon, Helang Setia, Kelab Perahu Naga KDB Kuching, United Riders, Argo Naga, Pasukan Juang Team, VRC Dragon Hong Kong, Kelab Perahu Naga Keris Terbang, Royal Malaysia Police Rider Paddlers dan Tabuan Sungai Bunga masing-masing berjaya mara ke pusingan seterusnya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka hadir untuk merasmikan Regatta Bot Naga Antarabangsa Sarawak dan Regatta Sarawak 2024 pada 10.00 pagi, esok.
Acara tahunan ini diadakan bertujuan mempromosikan budaya dan warisan masyarakat tempatan, serta menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
Oleh Mohd Neenatul Aizal