KOTA SAMARAHAN: Penubuhan Pusat Pembelajaran dan Kesejahteraan Kanak-Kanak dan Remaja (CALW@UNIMAS) di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bertujuan mempelopori penyelidikan dan inovasi dalam pembangunan kanak-kanak dan remaja.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UNIMAS, Dr Siti Noor Linda Taib berkata, penubuhan pusat ini menunjukkan komitmen UNIMAS dalam menangani keperluan kanak-kanak dan remaja dengan fokus kepada pembelajaran, kesejahteraan, resiliensi emosi dan pembangunan kemenjadian mereka.
“Tanggungjawab kita sebagai pendidik dan penyelidik adalah untuk memberikan sokongan yang holistik untuk mereka terus maju.
“CALW memberi tumpuan kepada dua bidang utama iaitu pelajar yang tidak tipikal dan kanak-kanak yang hilang pembelajaran. Selain itu, kesejahteraan kanak-kanak dan remaja yang tidak tipikal.
“Saya percaya CALW ini akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih sihat dan inklusif untuk generasi muda kita.
“Pusat ini akan menjadi pusat ilmu dan sokongan yang penting, bukan hanya untuk warga akademik di dalam dan luar negara tetapi juga untuk ibu bapa, pendidik, pembuat dasar dan profesional kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran pusat tersebut di Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, UNIMAS di sini, hari ini.
Dalam pada itu, CALW@UNIMAS juga turut menawarkan platform komprehensif yang menggabungkan kepakaran dalam pembangunan kanak-kanak, psikologi pendidikan, sains pembelajaran, psikologi klinikal, kaunseling, pendidikan khas, neurosains dan teknologi pendidikan.
Tambah Dr Siti, pusat ini mencerminkan nilai tinggi UNIMAS sebagai universiti cemerlang dalam pendidikan, inovasi, serta keterlibatan dengan komuniti dan rakan industri.
“Matlamat kita bukan sahaja untuk menyampaikan ilmu tetapi juga untuk memupuk empati, pemahaman, dan pertumbuhan.
“Dengan menyokong kesejahteraan dan pembelajaran kanak-kanak dan remaja, kita juga memastikan kesihatan dan kejayaan masyarakat kita secara keseluruhan,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal