SARIKEI: Seorang anak kapal dikenal pasti sebagai Min Wai Lin berumur 45 tahun dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai di jeti getah Taman Susur Jambu, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, PPgB Mahmudin Narudin berkata, mangsa merupakan seorang warganegara Myanmar.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada 9.30 pagi daripada pihak polis.
“Selepas mendapatkan maklumat penuh berkenaan insiden tersebut di balai polis, sepasukan bomba diketuai komander operasi, PBK II Haron Jenai bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba berjumpa dengan pekerja kapal untuk mengesahkan lokasi insiden mangsa mula jatuh ke sungai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, berdasarkan laporan polis oleh pengemudi kapal, mereka dari Kuching dan ke jeti tersebut untuk memunggah batu.
“Menurut laporan polis, pada 6.12 pagi sebelum kapal hendak mendekati jeti, dua orang anak kapal iaitu rakan mangsa telah memaklumkan kepada pengadu (pengemudi kapal) bahawa mangsa telah terjatuh ke sungai dari kapal tersebut.
“Beberapa orang anak kapal cuba menyelamatkan mangsa tersebut dengan usaha membaling pelampung yang terdapat di atas kapal ke arah mangsa dan seterusnya mereka cuba menurunkan bot ke sungai bagi menyelamatkan mangsa, namun usaha tersebut gagal dan mangsa didapati telah tenggelam,” katanya.
Katanya, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dalam radius satu kilometer (km) dari lokasi mangsa jatuh.
Turut hadir menyertai operasi SAR adalah pihak polis, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dan polis marin.
Setakat berita ditulis, operasi SAR masih dijalankan dan mangsa masih belum ditemui.
oleh Earl Anek