KUCHING : Penduduk di kawasan luar bandar Sarawak diberi kelonggaran untuk bergerak melebihi radius 10 kilometer atas faktor geografi dan lokasi petempatan yang terletak jauh daripada fasiliti awam.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat bersama Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail dan memohon kelonggaran pergerakan untuk penduduk di kawasan luar bandar.
“Kita sedia maklum bahawa keadaan geografi di Sarawak adalah sangat luas dan jarak antara kawasan petempatan di luar bandar ke fasiliti awam terletak melebihi 10 kilometer.
“Pihak polis juga bersetuju untuk memberi kelonggaran pergerakan ini untuk beberapa lokasi di kawasan luar bandar negeri ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media semalam.
Menurut Uggah, berkuatkuasa 3 April 2020, kebenaran untuk bergerak dari daerah ke daerah hendaklah melalui balai polis daerah yang terdekat.
Manakala kelulusan yang telah diperolehi dari Pejabat Daerah sebelum ini (sebelum 02 April) hendaklah disahkan semula di balai polis yang berdekatan, katanya.
Perkara ini, kata Uggah, adalah merujuk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit : Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) di bawah Seksyen 4 (1).
Menurut akta ini, seseorang individu dibenarkan untuk membeli makanan, keperluan harian, ubat atau penokok diet, mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan dan pergerakannya hendaklah tidak melebihi sepuluh kilometer dari kediamannya tidak boleh disertai oleh orang lain tanpa sebab yang munasabah.
Beliau menasihati penduduk luar bandar supaya mengatur pergerakan masing-masing dan tidak keluar secara beramai-ramai.
Katanya, setakat ini, situasi di kawasan luar bandar adalah dalam keadaan baik dan tiada kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan-keperluan lain yang dilaporkan.