KUALA LUMPUR: Tiga bintang golf iaitu pemain nombor satu dunia Nelly Korda, pemain nombor tiga dunia Lydia Ko dan pemain tempatan Kelly Tan menarik diri daripada Kejohanan Maybank 2024 yang akan berlangsung di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) pada 24-27 Okt ini.
Bagaimanapun, kehadiran lapan daripada 10 pemain golf terbaik dunia pada acara Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) bernilai AS$3 juta (kira-kira RM12.9 juta) itu akan tetap menjanjikan aksi hebat sekali gus menggamit sambutan peminat tempatan.
Berdasarkan senarai terkini yang diumumkan penganjur hari ini, juara Olimpik Tokyo 2020 Korda dari Amerika Syarikat dan pemenang pingat emas Olimpik Paris 2024 Ko dari New Zealand menarik diri daripada kejohanan tersebut.
Korda baru-baru ini berkongsi di Instagram mengenai kecederaan leher yang dialami semasa latihan, namun Ko belum mengumumkan sebarang alasan menarik diri.
Sementara itu, Kelly terpaksa menarik diri kerana penjadualan semula Peringkat Kelayakan Siri Q LPGA, yang akan diadakan pada 20-25 Okt.
Pusingan kelayakan, yang pada asalnya dijadualkan pada 13-18 Okt di Plantation Golf and Country Club, ditangguhkan ekoran Taufan Milton yang melanda pantai barat Florida minggu lepas.
Peminat golf tempatan bagaimanapun masih berpeluang menyaksikan aksi bertaraf dunia dengan barisan pemain terbaik seperti Lilia Vu dari Amerika (pemain nombor dua dunia), Ruoning Yin dari China (keempat dunia), pemain Korea Selatan Jin Young Ko (kelima dunia), Amy Yang (ketujuh dunia) dan Haeran Ryu (kesembilan dunia) antara nama besar yang akan mencabar juara bertahan dan pemain nombor 10 dunia, Celine Boutier dari Perancis.
Juga dalam senarai 78 pemain ialah Ayaka Furue dari Jepun (nombor enam dunia) dan Hannah Green dari Australia (kelapan dunia).
Pihak penganjur berkata Kejohanan Maybank 2024 mengetengahkan barisan pemain terkuat dalam sejarah kejohanan tersebut dengan penglibatan tiga pemenang kejohanan utama tahun ini.
Ketiga-tiga mereka ialah pemenang Kejohanan Evian, Ayaka Furue, juara Terbuka Wanita AS, Yuka Saso dari Jepun dan Amy Yang dari Korea Selatan yang memenangi gelaran Kejohanan PGA Wanita KPMG.– BERNAMA