BINTULU: Dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun tujuh bulan pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendent Nixon Joshua Ali berkata, satu kes kematian melibatkan kanak-kanak dilaporkan di Hospital Bintulu sekitar jam 7.50 malam, dengan kejadian asal dipercayai berlaku di kawasan Sungai Setiam.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala dan pinggang mangsa.
Sehubungan itu, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) bagi kesalahan membunuh.
“Bagi membantu siasatan, polis telah menahan seorang wanita berusia 28 tahun dan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita tidak sahih bagi mengelakkan kegusaran masyarakat.
Pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, ASP Mohamad Hashim Kasman di talian 011-15377837, atau Bilik Gerakan IPD Bintulu di 086-318304.