BINTULU: Seramai 25 penghuni kehilangan tempat berteduh selepas tujuh unit rumah pekerja di Jalan Sungai Nyigu di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Tiada kecederaan dilaporkan, dan semua penghuni berjaya diselamatkan.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dan Kidurong bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.22 pagi.
“Kebakaran melibatkan struktur sementara berkeluasan kira-kira 60×100 kaki persegi, yang menempatkan penghuni dalam tujuh unit rumah.
“Pasukan seterusnya bertindak menggunakan aliran air sepanjang 1,400 kaki dengan dua nozel melalui kaedah ‘relay pumping’ untuk melakukan operasi pemadaman,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.19 pagi, dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.28 pagi.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.