MIRI: Seramai 55 orang telah ditahan di beberapa lokasi berasingan di kawasan Pujut, Piasau, Bakam, Lutong dan Kuala Baram oleh Unit Penguatkuasaan Imigresen (UPI) Miri awal pagi tadi.
Sepasukan anggota UPI Miri telah diatur gerak ke beberapa lokasi tersebut setelah menerima aduan dan membuat risikan ke kawasan terbabit selama beberapa hari.
Kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak hari ini berkata, seramai 59 individu telah diperiksa melibatkan penahanan seramai 55 individu terdiri daripada 18 lelaki, tujuh wanita dan 30 kanak-kanak yang sedang tidur di rumah kongsi, rumah sewa dan penempatan sementara di tapak pembinaan.
Katanya, tangkapan terbesar dalam satu lokasi membabitkan sebuah kawasan pembinaan perumahan di Kuala Baram melibatkan tangkapan seramai 42 orang.
Kesemua individu telah ditahan di atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi masa, dan tidak mempunyai pas yang sah untuk tinggal di Malaysia.
Penahanan kesemua individu membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan adalah dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat terus ke Pejabat Jabatan Imigresen yang berdekatan atau melalui saluran aduan online sedia ada seperti yang tertera di ruangan komen.
Oleh Adum Liu