SARIKEI: Seramai 327 murid, 24 guru dan enam pembantu awam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wah Man menyertai latihan kawad pengungsian bangunan dan keselamatan kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, latihan dijalankan di sekolah tersebut pada jam 9.45 pagi kelmarin.
“Latihan ini melibatkan seramai 357 orang peserta iaitu 327 orang murid, 24 orang guru dan enam orang pembantu awam SJKC Wah Man.
“Seramai lapan anggota bomba hadir bagi mengendalikan latihan tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, antara latihan yang dijalankan adalah tatacara penggunaan alat pemadam api dan ceramah kesedaran keselamatan kebakaran.
“Alhamdulillah, latihan yang dijalankan bersama pihak sekolah berjaya menarik minat murid.
“Tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang latihan dijalankan,” katanya.