SIBU: Lebih 1,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat menyertai acara ‘Zombie Fun Run 2024’ yang diadakan di Esplanade Rejang, Sibu, malam tadi.
Acara larian sejauh tiga kilometer itu dianjurkan oleh Persatuan Sungai Merah dan dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting Fu Ying, yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Menurut Ting, ini merupakan tahun kedua acara larian zombi dianjurkan di Sibu.
“Tahniah kepada penganjur kerana menganjurkan acara yang sihat seperti ini.
“Acara sebegini dapat memupuk amalan hidup sihat dalam kalangan masyarakat di Sibu,” katanya kepada pemberita.
Beliau turut menggesa pihak penganjur untuk meneruskan acara ini pada masa akan datang.
“Tahun depan buat lagi supaya kita dapat bersama-sama menyertai program yang baik dan sihat ini.
“Saya harap semua masyarakat Sibu, tidak kira Cina, Iban, atau Melayu, akan turut serta dalam acara ini pada tahun akan datang,” katanya.
Pada majlis sama, Ting turut mengumumkan bahawa Tiong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, telah memberikan peruntukan RM5,000 kepada persatuan tersebut untuk menjalankan aktiviti mereka.
Oleh TARANI LANTING