KUALA LUMPUR: Beregu profesional lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berpeluang untuk meraih gelaran ketiga mereka tahun ini selepas mara ke final Terbuka Artik 2024 di Vantaa, Finland hari ini.
Dalam aksi separuh akhir di Anergia Areenadi, pasangan pilihan kelima dan juara Terbuka China 2024 itu mencipta kejutan sensasi ke atas pilihan utama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chan selepas bangkit daripada tewas set pertama untuk menang 19-21, 21-17, 21-18 dalam pertarungan selama 62 minit.
Gandingan nombor lapan dunia itu akan menentang sama ada pilihan kedua Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark atau Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dari Thailand, yang dijadual bersaing dalam satu lagi aksi separuh akhir lewat malam ini.
Bekas juara remaja dunia, Nelson Heg-Teo Ee Yi merupakan satu-satunya beregu lelaki Malaysia yang pernah bergelar juara bagi acara Super 500 itu pada edisi 2013.
Sementara itu, cubaan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie untuk mara ke final terhenti selepas tewas kepada pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 14-21, 8-21. — BERNAMA