LAWAS: Bidang penternakan kerbau kini menjadi satu perniagaan menguntungkan berbanding sekadar ternakan untuk membajak sawah.
Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong memberitahu, penggunaan teknologi baru yang lebih baik mampu menghasilkan kerbau yang sihat untuk daging dan susunya.
“Ternakan kerbau sekarang lebih cerah dengan penggunaan teknologi moden, kita mampu menghasilkan kerbau yang lebih besar dan mampu menghasilkan susu yang banyak,” katanya .
Beliau berkata demikian pada penutupan Kursus Teknologi Kerbau Separa-Imtensif bersempena Program Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di sebuah hotel di sini, hari ini.
Henry Sum Agong yang turut menjadi sebahagian peserta kursus memberitahu bahawa melalui kursus yang dianjurkan ini akan memudahkan penternak kerbau tradisi lebih memahami kaedah terkini penternakan kerbau.
Program ini adalah sebahagian bantuan kerajaan selain dalam bentuk projek iaitu memberi ilmu pengetahuan.
Ini adalah usaha kerajaan dalam meningkatkan stok simpanan makanan selain daripada kegiatan pertanian.
Oleh itu, beliau menyarankan agar masyarakat kampung untuk ambil peluang dalam program seperti ini bagi melibatkan diri dalam ternakan kerbau.
Selain itu, pembinaan kilang memproses keju daripada susu kerbau yang bakal siap tahun hadapan merupakan satu lagi manfaat untuk penternak kerbau di Lawas dan Limbang menambah pendapatan mereka.
Hadir sama ialah Pegawai Perkhidmatan Veterinar Bahagian Limbang Robine Asut, ketua-ketua masyatakat Lun Bawang dan pegawai daripada Perkhidmatan Veterinar Sarawak.
Terdahulu, Robine memberitahu bahawa beberapa siri kursus serupakan akan diadakan untuk kawasan Sundar dan seluruh Lawas dalam usaha meningkatkan jumlah pengusaha ternakan kerbau dan populasi kerbau di Lawas.
Oleh Adeng Edrus