KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia terpaksa berputih mata apabila terlepas peluang mempertahankan kejuaraan Terbuka Artik 2024 selepas terkandas di suku akhir malam tadi.
Dalam saingan suku akhir di Energia Areena, Vantaa, Finland, Zii Jia yang juga pemain keempat dunia nyata bukan tandingan wakil Jepun Koki Watanabe setelah ditewaskan 15-21, 21-13, 12-21 usai 66 minit perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan Zii Jia kecundang dalam ketiga-tiga pertemuan menentang Watanabe.
Sementara itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah melangkah ke separuh akhir selepas menundukkan wakil Taiwan, Chang Ching Hui-Yang Ching Tun 21-8, 21-18 dalam masa 32 minit.
Cabaran getir menanti Pearly-Thinaah iaitu pilihan kedua kejohanan dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam misi ke final hari ini.
Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula disingkirkan pilihan utama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam pertarungan sengit 17-21, 21-16, 17-21.– BERNAMA