KUCHING: Transformasi digital yang diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak membantu negeri ini melakar pembangunan bandar yang inklusif dan
strategik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, transformasi ini menjadikan Sarawak mampu berkembang ke bandar yang membangun.
“Sarawak mulai melabur dalam bandar pintar sebagai inisiatif untuk mengoptimumkan pengurusan bandar dan menambah baik kualiti hidup penduduk.
“Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) sedang disepadukan ke dalam sistem infrastruktur untuk meningkatkan kecekapan dalam bidang seperti pengurusan lalu lintas, pengagihan tenaga dan perkhidmatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Masa Depan Sarawak yang julung kali diadakan di sini, hari ini, bagi menumpukan usaha meneroka strategi dan peluang pembangunan ekonomi.
Kira-kira 500 orang menyertai forum sehari anjuran Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) yang turut menampilkan ahli ekonomi Amerika Syarikat dan penerima Hadiah Nobel bagi Sains Ekonomi, Profesor Joseph Stiglitz.
Abang Johari berkata, sistem trafik pintar telah pun dilaksanakan di ibu kota untuk mengurangkan kesesakan dan mengurangkan pelepasan karbon.
“Sistem ini menggunakan data masa nyata untuk memantau aliran trafik, membenarkan pelarasan dinamik pada isyarat lalu lintas dan meningkatkan kecekapan lalu lintas secara keseluruhannya.
“Inisiatif bandar pintar ini bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kehidupan di bandar malah ia juga sejajar dengan matlamat Sarawak untuk mewujudkan sebuah bandar yang cekap dan mampan.
“Dengan usaha ini, Sarawak dapat membangun dengan mengekalkan kemampanan alam sekitar di samping mempertingkatkan kebolehdiamannya di kawasan bandar,” katanya.
Beliau berkata, transformasi digital ini juga membolehkan Sarawak melancarkan inisiatif untuk menguruskan sisa secara pintar dengan mengoptimumkan proses kitar semula dan sisa proses pelupusan yang akan menyumbang kepada persekitaran lebih bersih.
Oleh NUR AIN OTSMAN