MIRI: Kerajaan Sarawak telah menggubal badan perundangan untuk mempromosi dan membangunkan projek pemerapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di luar pesisir negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, syarikat Petroleum Sarawak Berhad (Petros) telah dilantik sebagai pengurus sumber untuk mempromosi dan membangunkan tapak penyimpanan karbon tersebut.
Katanya, pada masa ini, Sarawak mempunyai tiga projek CCUS termasuk satu yang melibatkan kerjasama bersama konsortium minyak dan gas dari Jepun.
“Kita telah menggubal badan perundangan untuk mempromosi, membangun CCUS di luar pesisir perairan Sarawak.
“Semua pihak yang berminat dalam projek CCUS harus berhubung dengan Petros sebagai pengurus sumber,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pembukaan Ibu Pejabat Operasi Huluan Shell Malaysia (OSSM) di Miri Times Square di sini malam tadi.
Abang Johari turut mengajak Shell untuk menjalinkan kerjasama erat dengan Petros dalam lanskap minyak dan gas di Sarawak.
“Saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa Shell telah menjadi rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk memajukan masa depan Sarawak.
“Kehadiran anda di sini selama satu abad adalah terpuji, anda bersama-sama kerajaan Sarawak telah mengubah Miri dari sebuah kampung kecil kepada sebuah bandar moden.
“Mari kita teruskan perjalanan pertumbuhan di Sarawak terutamanya dalam ruang tenaga hijau, sama ada CCUS atau teknologi hijau yang lain, saya berharap dapat melihat anda bekerjasama dengan entiti minyak dan gas Sarawak kita sendiri dalam landskap minyak dan gas di negeri ini,” katanya.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengerusi Shell Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman.
Oleh Liong Chai Ling