ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Sarawak akan mendapatkan bantuan daripada pakar perubatan dari China dan pakar perubatan dari Kerajaan Wilayah Fujian dalam usaha menangani wabak pandemik Covid-19.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian berkata, pakar-pakar tempatan akan bertukar-tukar pengalaman dengan rakan-rakan sejawat mereka dari Kerajaan Wilayah Fujian melalui persidangan video yang diadakan setiap minggu.
“Kita menghargai semua bantuan yang kita dapat dalam menangani virus pembunuh yang tidak kelihatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkenaan Covid-19 di sini, semalam.
Menjawab pertanyaan pemberita mengenai bekalan ubat-ubatan untuk penyakit kronik yang lain, Sim berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah membuat aturan yang mana hanya temu janji sahaja datang ke hospital bagi mengambil ubat kerana untuk mengelakkan orang ramai daripada berkumpul.
“Saya sudah berbincang dengan Pengarahnya, Dr Chin hanya temu janji dan kes penting sahaja datang ke hospital untuk mengambil ubat.
“Bekalan kita tidak kekurangan, tetapi cara untuk menyampaikan kepada pesakit sahaja yang menjadi isu sekarang.
“Tetapi jika orang ramai mempunyai masalah kesihatan lain, mereka boleh merujuk ke klinik-klinik swasta terlebih dahulu,” jelasnya.
Mengulas mengenai adakah penguatkuasaan yang lebih ketat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana dilihat masih banyak kenderaan di jalan raya.
Sim berkata, pihak polis boleh meningkatkan sekatan jalan raya tetapi apa yang orang ramai perlu fahami adalah untuk tinggal di rumah sepanjang tempoh itu.
“Berapa banyak lagi yang boleh kita letakkan di dalam penjara, dan jika mereka menjangkiti orang lain di penjara, apa yang akan berlaku?
“Itulah sebabnya kami terus mengingatkan dan merayu semua orang untuk mempunyai disiplin diri demi kebaikan bersama.
“Apabila kurang kereta dan orang keluar, ia menjadi kurang positif Covid-19 kes dan kematian. Kita perlu mengekalkan cara ini,” tegasnya.
Jelasnya, ia adalah perkara yang serius dan bukan dilakukan kerana politik.
“Apa yang kita cuba lakukan adalah kita mahu semua orang memainkan peranan mereka supaya setiap rakyat Sarawak dilindungi dan selamat dari wabak maut ini,” katanya lagi.