DUN: Projek jalan ladang Lingga-Banting yang terhenti dijangka disambung 2028, siap 2030

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Abdul Rahman Ismail menjawab soalan Datuk Mong Dagang (GPS-Bukit Begunan) pada sidang DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya.

PETRA JAYA, 13 Oktober: Projek pembinaan jalan ladang Lingga ke Banting sepanjang 12.70 kilometer (km) yang terhenti sejak beberapa tahun lalu dijangka disambung semula pada 2028 dan siap sepenuhnya menjelang 2030.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek berkenaan sudah mencapai 70.73 peratus kemajuan sebelum kerja pembinaan dihentikan susulan penamatan kontrak asal.

“Beberapa perubahan terhadap struktur utama projek termasuk lokasi benteng kawalan air dan jajaran jalan ladang menyebabkan reka bentuk semula serta proses pengambilan tanah baharu perlu dilaksanakan.

“Proses pengambilan tanah telah dimulakan pada 2025 dan selesai pada awal tahun ini.

“Ketika ini, projek berada pada peringkat penilaian tender bagi pelantikan perunding baharu untuk menyemak dan mereka bentuk semula komponen yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mong Dagang (GPS-Bukit Begunan) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, hari ini.

Beliau mengulas lanjut, pelantikan perunding baharu dijadualkan pada awal 2027 sebelum kerja pembinaan fizikal jalan ladang itu bersama komponen lain projek disambung semula pada 2028.

“Kerajaan kekal komited untuk menyiapkan jalan ladang berkenaan yang dijangka memberi manfaat secara langsung kepada 124 pesawah berdaftar dari sembilan rumah panjang di kawasan Banting.

“Selain pesawah, kemudahan jalan itu turut dijangka memanfaatkan penduduk lain yang tinggal di sepanjang laluan Lingga ke Banting,” jelasnya.

Untuk rekod, pembinaan jalan ladang berkenaan merupakan antara komponen utama Projek Pembangunan Infrastruktur Pengairan dan Saliran Jelapang Padi Lingga/Banting Serta Kerja-Kerja Yang Berkaitan, Bahagian Sri Aman, Fasa 1 (Blok C dan D).

Oleh Masrin Affirah