LIMBANG: Limpahan projek pembangunan yang dilaksanakan di Limbang seperti Tebingan Sungai Limbang yang merupakan tebingan terpanjang di Sarawak diyakini mampu menarik lebih ramai pengunjung ke daerah itu.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kerajaan Sarawak melalui kepimpinan Premier Sarawak melaksana pelbagai projek pembangunan berterusan dan dengan adanya infrastruktur dan kemudahan tersebut, Limbang akan menjadi bahagian yang mampu menarik kedatangan pelancong.
Jelasnya, kemasukan pengunjung luar terutama dari negara jiran Brunei Darussalam bukan saja memacu sektor pelancongan malah mampu meningkatkan ekonomi setempat.
“Saya yakin bahawa dengan prasarana yang dibina ini akan menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke tempat kita. Kita berharap keadaan ekonomi di Limbang bertambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.
Abdul Rahman berkata demikian berucap pada Pertandingan Mr Body Builder dan Mr Wonderful Sempena Hari Bukit Mas 2024 di Amphitheatre Tebingan Sungai Limbang, kelmarin.
Turut sama, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, pengerusi penganjur Kaunselor Adison Langgar Injan dan kenamaan lainnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata lagi, peruntukan besar di salur kerajaan Sarawak bertujuan memajukan prasarana asas di kawasan tersebut, sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.
Jelas Dr Abdul Rahman lagi, antara projek utama yang akan dilaksanakan termasuk pembinaan jalan raya dan jambatan baharu, projek bekalan elektrik dan air bersih juga akan dijalankan bagi memastikan penduduk mendapat akses kepada kemudahan asas yang lebih baik dan selesa.
Katanya lagi, banyak kejayaan dan pencapaian terbaik yang dicapai Sarawak melalui pendekatan dan inisiatif baharu sekali gus meningkatkan pendapatan dan ekonomi di wilayah itu.
Oleh Adeng Edrus