SIBU: Penubuhan Komuniti MADANI bukanlah aset politik kerajaan semasa, tetapi bertujuan menyampaikan maklumat terkini dan dasar kerajaan.
Pegawai Penerangan Daerah Sibu, Zaini Morshidi menjelaskan bahawa komuniti ini adalah pertubuhan sukarela dianggotai masyarakat setempat yang ingin membawa perubahan kepada kampung mereka.
“Ia bukanlah entiti politik, sebaliknya berfungsi sebagai medium penyampaian maklumat kepada masyarakat, termasuk pelajar, agar mereka lebih memahami inisiatif kerajaan tanpa terpengaruh oleh kepentingan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Jiwa MADANI DUN Pelawan dirasmikan oleh Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Sibu, Abdul Malik Hashim, mewakili Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman di SMK Deshon, semalam.
Lebih 100 pelajar SMK Deshon menyertai program tersebut, termasuk mendengar ceramah motivasi bertajuk ‘Seksual Remaja dan Gangguan Seksual’ oleh Dr. Tiong Ho Ching daripada Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu.
Di samping itu, Zaini turut menekankan bahawa Komuniti MADANI memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat bukan sahaja tentang dasar kerajaan, tetapi juga isu semasa yang melibatkan masyarakat.
Program seperti ini juga, katanya, bertujuan memberikan motivasi serta meningkatkan kesedaran masyarakat melalui ceramah dan aktiviti lain.
Zaini menambah, setiap Komuniti MADANI menerima peruntukan tertentu, seperti RM3,000 untuk pengurusan, dan digalakkan bergerak secara mandiri selagi mereka kekal dalam rangka kerja yang selaras dengan dasar kerajaan.
Beliau turut mengumumkan bahawa di Sibu terdapat 18 Komuniti MADANI yang beroperasi di enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Komuniti ini memainkan peranan penting dalam menyokong agenda jabatan dengan kerjasama pejabat residen, pendidikan, dan kesihatan.
“Program Jiwa MADANI ini, di bawah inisiatif Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA), bertujuan membawa pelbagai maklumat kerajaan terus kepada masyarakat,” katanya.
Turut hadir, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Deshon, Alli Hassan Teck, serta beberapa tetamu jemputan lain.
Oleh Tarani Lanting