MUSIM MotoGP 2020 akan bermula pada 20 Julai di Sepanyol berikutan ‘lockdown’ Covid-19 dengan perlumbaan berturut-turut akan diadakan di litar Jerez, umum penganjur semalam.
Akan ada minimum 13 perlumbaan musim ini iaitu semuanya di Eropah antara Julai dan November selain mungkin empat lagi di luar benua pada akhir tahun ini.
Sama ada peminat boleh menghadiri perlumbaan bergantung kepada peraturan Covid-19 setiap negara tuan rumah .
“Semua tarikh, acara, dan kehadiran penonton akhirnya bergantung kepada evolusi wabak dan persetujuan kerajaan dan pihak berkuasa,” kata MotoGP dalam satu kenyataan.
Pada Khamis lalu, Grand Prix Itali di Mugello telah menjadi perlumbaan MotoGP kelapan musim ini yang akan dibatalkan kerana wabak Covid-19.
Musim ini pada awalnya dijadualkan bermula pada 8 Mac di Qatar tetapi hanya acara Moto2 dan Moto3 yang berlumba.
Perlumbaan Inggeris di Silverstone, Grand Prix Jerman di Sachsenring dan perlumbaan di Jepun, Australia, Finland dan Belanda semuanya dibatalkan.
Penganjur MotoGP Dorna telah menunggu Kerajaan Sepanyol untuk memberi lampu hijau agar perlumbaan di Jerez diteruskan sebelum mengumumkan jadual yang disemak semula.
Secara keseluruhannya Sepanyol akan menjadi tuan rumah tujuh perlumbaan, dengan Grand Prix Catalunya akan diteruskan di Barcelona pada 28 September, sementara dua perlumbaan berturut-turut juga ditempah di Aragon dan di Valencia masing-masing untuk Oktober dan November.
Grand Prix Czech akan menjadi perlumbaan ketiga dalam kempen kali ini pada 10 Ogos sebelum dua perlumbaan di Red Bull Ring, Austria dan dua lagi di Itali di litar yang digunakan untuk Grand Prix San Marino.
Le Mans akan menjadi tuan rumah Grand Prix Perancis pada 12 Oktober.
Kemungkinan perlumbaan di Amerika Syarikat, Thailand, Argentina dan Malaysia akan disahkan pada 31 Julai.
Bintang Sepanyol, Marc Marquez akan berusaha untuk memenangi gelaran kelas utama kelima berturut-turut dan ketujuh secara keseluruhan.
Juara dunia MotoGP tujuh kali, Valentino Rossi, yang akan berada dalam musim terakhirnya sebagai pelumba kilang Yamaha berkata, dia terdesak untuk kembali ke litar.
Musim Moto 2 dan Moto 3 akan disambung dengan kalendar yang sama, sementara akan ada tujuh perlumbaan MotoE termasuk di Perancis untuk pertama kalinya. – AFP