SARATOK: Pasukan WFC A muncul juara Pertandingan Badminton Piala YB Mohamad Duri Tertutup Betong-Sri Aman kategori berpasukan lelaki yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sri Krian, semalam.
Dalam perlawanan akhir itu, WFC A menumpaskan Saratok A dalam aksi yang penuh dramatik.
Dengan kejuaraan itu, WFC A membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500, manakala Saratok A yang terpaksa berpuas hati sebagai naib juara pulang dengan hadiah RM800.
Pasukan WFC B dan Saratok B muncul sebagai pasukan berada ditempat ketiga bersama dan kedua-dua pasukan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM400.
Bagi kategori regu wanita, pasangan Wong dan Adaline muncul juara selepas mengalahkan pasangan Noorainey dan Sonia dalam aksi perlawanan akhir bagi kategori terbabit.
Dengan kejuaraan itu, pasangan Wong dan Adaline membawa pulang hadiah wang tunai RM500, manakala pasangan Noorainey dan Sonia yang muncul naib juara membawa pulang hadiah wang tunai RM300.
Tempat ketiga bersama disandang oleh regu Masni dan Asmawati, serta Siti dan Nursyahirah, seterusnya pulang dengan hadiah RM150.
Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Setiausaha
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu
(PBB) Cawangan Kalaka Gapor Ahmad yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Dalam pada itu, pertandingan kali ini yang dianjurkan oleh Kelab Badminton WFC dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Kalaka berjaya menarik penyertaan sembilan pasukan lelaki dan 12 regu wanita dari sekitar Saratok, Kabong, Sri Aman dan jemputan Kuching.
Oleh Adi Safarman